Thursday, May 10, 2012

kemuncup dalam perjuangan



Ada tiga orang pemuda yang dikehendaki berjalan di sebuah padang rumput yang luas. Mereka diminta berjalan hingga melepasi penghujung padang rumput tersebut dalam jangka masa yang ditetapkan. Dengan persediaan yang rapi, mereka memulakan perjalanan dengan harapan dan semangat agar mereka berjaya sampai hingga ke hujung padang.
Dalam perjalanan, mereka mendapat pengalaman yang baru. Melihat bunga-bunga yang tak pernah mereka jumpa, melihat rama-rama terbang riang menceriakan perjalanan serta menghayati kicauan burung yang menenangkan. Mereka sangat gembira sambil berpegangan tangan, berjalan seiring menuju matlamat.

Namun di tengah-tengah perjalanan, seorang di antara mereka berhenti. Di tengah perjalanan itu, dia merenung kaki seluarnya yang dipenuhi dengan kemuncup. Sebenarnya, dia terasa sedikit sakit sebab itulah dia berhenti. Lalu dia bertindak mencabut satu persatu kemuncup tersebut hingga kaki seluarnya kembali licin. Dua orang sahabat hanya tersenyum menunggu.

Kemudian, mereka kembali meneruskan perjalanan. Kali ini setelah beberapa ketika, seorang yang lain pula berhenti. Memandang seluarnya yang ditusuki kemuncup, dia menunduk berniat untuk mencabutnya. Tetapi kali ini pemuda yang ketiga merenung tajam. Dia bingkas menegah tindakan rakannya kerana menganggap tindakan tersebut melambatkan perjalanan.

Pemuda ketiga itu berhujah, mereka punya matlamat yang lebih besar berbanding mencabut kemuncup di kaki seluar. Baginya, mereka perlu menyelesaikan tugasan yang diberikan memandangkan mereka kesuntukan masa. Tegasnya, itu yang lebih utama.
Tetapi rakannya tidak mahu mengalah. Rasa tidak selesanya dipertahankan. Baginya, dia perlu membersihkan seluarnya. Muktamad.

Perbalahan tidak berakhir. Kemuncup dijadikan masalah utama berbanding matlamat di hujung jalan. Padahal, kalau mereka daripada kalangan orang-orang yang berfikir, kemuncup hanyalah masalah cabang yang ‘boleh’ diketepikan.

Begitulah juga dalam perjuangan yang panjang ini. Kita sibuk memikirkan masalah-masalah kecil yang tidak utama berbanding dengan matlamat besar yang lebih perlu untuk kita fokuskan. Perbincangan dan perbalahan dalam perkara ini sama sekali tidak menguntungkan. Kita kesuntukan masa untuk berbalah, ego dan mempertahankan pendirian peribadi.

Apa salahnya kita bersama fikir maslahah yang lebih besar dan ketepikan ego kita. Ya, ego kita mungkin terguris. Perasaan dan jiwa terganggu. Ya, bukan mudah mengenepikan perasaan dan ego sendiri.

Tapi bukankah ada kemenangan yang lebih besar, kegembiraan yang tersebar buat semua orang. Berbanding kegembiraan yang dicapai dengan ego, yang hanya dikejar untuk kemenangan diri sendiri?

Tolonglah ahli gerakan Islam yang berjanji memperjuangkan Islam, ketepikanlah kemuncup dalam perjuangan!


cyanide 1519
copied from masturah abu bakar

No comments:

Post a Comment